in

Isu Dobi Muslim Sahaja, Ini Respon Mufti Wilayah Persekutuan – ‘Tidak Wajar Ada Diskriminasi’

Telah viral di media sosial mengenai sebuah dobi di Negeri Johor yang hanya menerima muslim sebagai pelanggan. Papan tanda yang diletakkan di hadapan kedainya itu menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak kerana telah menyentuh isu sensitif. Sehinggakan Sultan Johor mengarahkan pemilik dobi untuk minta maaf.

Pemilik dobi berkenaan telah memohon maaf dan akur dengan arahan Sultan Johor yang mahu konsep perniagaan dobi tersebut diubah.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan di facebooknya ada mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan perkara ini. Marilah kita sama-sama memahami apa yang ingin disampaikan tuan Mufti yang boleh diambil sebagai pengajaran kepada kita semua.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN : ISU DOBI KHAS KEPADA MUSLIM SAHAJA

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan dengan isu yang tular dalam media sosial seminggu dua ini perihal kewujudan perkhidmatan dobi yang dikhaskan kepada pelanggan yang beragama Islam sahaja, kami memahami hasrat dan matlamat baik yang hendak disampaikan oleh pengusaha dobi berkenaan.

Namun, dalam konteks dan situasi kita di Malaysia yang hidup dengan berbilang bangsa atau masyarakat majmuk, sikap meraikan antara satu sama lain adalah penting dalam fiqh al-ta`ayusy. Bahkan dalam fiqh muamalat itu sendiri, asal suatu hukum itu adalah harus. Justeru, kami memandang tidak sewajarnya wujud bentuk diskriminasi bahkan diizinkan untuk sama menggunakannya. Ini menatijahkan perasaan yang tenang dalam masyarakat dan keharmonian yang hendak dicapai akan terhasil.

Allah SWT memerintahkan di dalam al-Qur’an al-Karim kepada umat Islam supaya melakukan kebaikan kepada orang yang tidak seagama dengan mereka. Yang tidak membawa kepada kehinaan atau peperangan dan juga bencana. Demikian itu, selaras dengan apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warganegara daripada semua agama dan juga semua warganegara yang bukan beragama Islam. Ini semua dibenarkan oleh firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

(Surah al-Mumtahanah : 8)

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Imam al-Tabari berkata: “Ini menunjukkan bahawa Allah SWT melarang kamu daripada memerangi orang yang tidak memerangi kamu disebabkan agama daripada setiap golongan, aliran dan agama. Dan hendaklah kita berbuat baik kepada mereka, menyambung silahturrahim dan berlaku adil kepada mereka.”

Adapun firman Allah SWT “إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ” bermaksud sesungguhnya Allah SWT kasih golongan yang insaf (adil). Orang yang insaf ini adalah orang yang memberi hak dan keadilan terhadap diri mereka. Mereka juga membuat kebajikan kepada orang yang berbuat kebajikan kepada mereka dan juga berbuat baik kepada sesiapa yang berbuat baik kepada mereka.

Berlaku baik adalah sifat yang tertinggi dalam bermuamalat (bergaul). Allah SWT telah di dalam bab bergaul dengan ibubapa. Nabi SAW telah menjelaskan di dalam sebuah hadith:

Daripada al-Nawwas bin Sim’an RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ

Maksudnya: “Berbuat kebajikan (baik) adalah sebaik-baik akhlak.”

Riwayat Muslim (2553)

Imam al-Qarafi menggambarkan atau memberi contoh berkaitan berbuat kebaikan dan kebajikan yang dilihat daripada ayat al-Qur’an di mana memerintahkan orang beragama Islam agar berlaku baik dan menghukum dengannya juga hubungan orang Islam dengan bukan Islam yang tidak memerangi mereka disebabkan agama dan tanah air. Maka beliau mengatakan:

“Perkataan yang lembut terbina daripada kelembutan dan rahmat (kasih sayang) bukannya terbina daripada ketakutan dan penghinaan.”

Rujuk al-Ta`ayusy Ma`a Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama` al-Muslim oleh Syeikh Munqidh bin Mahmud al-Saqqar

Sesungguhnya dalam menempuh kehidupan, sifat kesatuan perlu diutamakan mengikut dawabit dan prinsip Islam. Kami mencadangkan kepada para pembaca kenyataan kami ini untuk merujuk kepada beberapa artikel kami yang terdahulu yang telah menerangkan isu membersihkan pakaian dengan mesin basuh:

Al-Kafi #311 : Menyucikan Pakaian Dengan Mesin Basuh (https://goo.gl/oQECdS)

Al-Kafi #303 : Menggunakan Perkakas Dapur Orang Bukan Islam (https://goo.gl/uG667j)

Al-Kafi #31 : Mengasingkan Pakaian Bernajis Ketika Membasuh (https://goo.gl/egsj17)

Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-200 : Cara Menyucikan Telefon Bimbit Yang Ditimpa Najis (https://goo.gl/7S2UjC)

Semoga kenyataan ini mejadikan kita sentiasa berhemah dalam sebarang tindakan dan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah Taala:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.

Rujuk al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil (4/374).

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan dan bukan hanya pada umat aqidah, sekalipun itu yang paling utama. Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
Selasa, 3 Oktober 2017M bersamaan 12 Muharram 1439H
Pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/pNhCGJ

Leave a Reply

Loading…

Komen

Komen

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

5 Tanda-Tanda Kematian Yang Diketahui Tapi Diabaikan Oleh Manusia

7 Alasan Kenapa Perempuan Suka Lelaki Berjambang, No. 3 Tu Yang Meletop