in

5 Perkara Yang Ramai Tak ‘Alert’ Tentang Zakat KWSP

www.majalahlabur.com

Ramai yang sedia maklum bahawa kita boleh mengeluarkan duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk memudahkan pelbagai urusan. Tanpa perlu menunggu usia bersara iaitu 50 atau 55 tahun, ia boleh dikeluarkan bagi tujuan tertentu seperti pendidikan, pembelian rumah, perubatan dan Haji.

Ingatlah bahawa setiap kali kita menerima duit KWSP, hak zakatnya wajib dilunaskan. Jadi, tidak kiralah kita mengeluarkannya pada usia berapa, duit KWSP itu tetap dikenakan zakat.

1. Zakat KWSP Termasuk Dalam Zakat Harta

Menurut sumber artikel dari Tazkirah.net dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor, zakat boleh dibahagikan kepada 2 kategori utama iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Zakat fitrah adalah zakat yang kita bayar setiap tahun dalam bulan Ramadan, manakala zakat harta terdiri daripada 7 jenis iaitu:

  1. Zakat pendapatan
  2. Zakat perniagaan
  3. Zakat wang simpanan
  4. Zakat emas dan perak
  5. Zakat saham
  6. Zakat KSWP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)
  7. Zakat takaful

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.

2. Kadar Zakat KWSP Yang Diwajibkan

Kadar Zakat KWSP yang wajib dikeluarkan sama ada ketika bersara, membeli rumah atau sebarang pengeluaran yang dibenarkan adalah 2.5% dari jumlah yang dikeluarkan.

Walaubagaimanapun terdapat 2 jenis pandangan bagi zakat KWSP ini berdasarkan pengeluaran yang anda lakukan.

i) Pengeluaran Sebahagian (Milikan belum sempurna sebelum 55 tahun)

  • 2.5% daripada pengeluaran KWSP wajib dizakatkan sekiranya mencapai nisab (rujuk nisab di laman web Lembaga Zakat Negeri masing-masing).
  • Jika jumlah pengeluaran di bawah nisab, hendaklah dicampurkan bersama pendapatan lain (contoh: wang gaji) dan dizakatkan 2.5% daripadanya jumlah pendapatan tersebut.

ii) Pengeluaran Akaun 2 (Pada Usia 50 tahun)

Pada usia 50 tahun, Akaun 2 KWSP sudah boleh dikeluarkan tanpa apa-apa halangan. Maka ketika itu, sama ada kita mengeluarkannya ataupun tidak, wang KWSP di dalam Akaun 2 ini dikira sempurna milik.

Maka wajib dikenakan zakat KWSP ke atas seluruh wang di dalam Akaun Kedua tersebut dengan kadar 2.5% daripada jumlah keseluruhannya.

iii) Milikan Penuh Semasa Usia 55 tahun

Ketika usia 55 tahun, kesemua wang di dalam KWSP sudah sempurna milik.

Maka ketika itu, zakat dikenakan ke atas seluruh wang KWSP dengan kadar 2.5%.

3. Cara Kiraan Zakat

Seeloknya, zakat dibayar serta-merta atau dalam masa terdekat sebaik saja wang tersebut dikeluarkan atau berada dalam milikan seseorang.

i) Pengeluaran Sebahagian

Contoh 1: KWSP dikeluarkan pada tahun 2016 sebanyak RM 15,000 untuk tujuan deposit perumahan. Kadar nisab pada tahun 2016 adalah RM13,536 (berdasarkan Lembaga Zakat Selangor). Maka, jumlah yang dikeluarkan ini cukup nisabnya.

Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM15,000 x 2.5% = RM 375.

Contoh 2: RM 3000 dikeluarkan dari akaun KWSP pada tahun 2016 bagi tujuan pembelian laptop. Oleh kerana tidak cukup nisab, jumlah pengeluaran ini disekalikan dengan zakat pendapatan.

Gaji bersih bulanan (setelah ditolak keperluan asas) adalah RM2,000 sebulan dan jumlahnya adalah RM24,000 (setahun). 

Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar adalah (RM24,000 + RM3,000) x 2.5% = RM600

ii) Pengeluaran Akaun 2 / Milikan Penuh

Bagi pengiraan zakat ini, anda cuma perlu mendarabkan jumlah wang dalam akaun dengan 2.5%.

Contoh: Ketika berusia 50 tahun, jumlah wang dalam Akaun 2 KWSP adalah RM35,000.

Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM35,000 x 2.5% = RM875

*Tidak kiralah sama ada jumlah ini dikeluarkan atau tidak, ia masih wajib dibayar kerana dianggap sudah sempurna pemilikannya. Begitu juga dengan amaun yang bakal diterima semasa usia 55 tahun nanti.

Untuk memudahkan, gunakan kalkulator zakat KWSP atau zakat-zakat lain di sini.

4. Cara Membayar Zakat KWSP

Ramai orang keliru menyamakan wang zakat dengan wang sedekah. Wang sedekah adalah berbeza daripada wang zakat kerana ia perlu diagihkan kepada 8 asnaf yang ditetapkan – bukan kepada tabung masjid, rumah anak yatim, atau tabung sekolah agama.

Oleh sebab itu, wang zakat sebaik-baiknya di serahkan kepada Pusat Zakat kerana badan ini bertindak secara khusus untuk mengagihkannya secara sistematik kepada 8 asnaf sebagaimana yang di nyatakan dalam Al-Quran. Walaubagaimanapun, wang sedekah boleh salurkan di mana-mana saja yang ingin disalurkan sama ada tabung masjid, sekolah agama Tahfiz, wakaf, dan sebagainya.

5. Keperluan Mendesak Dikecualikan Zakat KWSP

Dalam sesetengah kes, seseorang mungkin perlu mengeluarkan KWSP untuk membiayai keperluan tertentu yang amat kritikal. Antara contoh keperluan yang amat mendesak adalah mendapatkan rawatan perubatan yang menelan kos yang sangat tinggi.

Contohnya, wang untuk pembedahan atau kemoterapi memerlukan wang sebanyak RM50,000 dan wang KWSP tidak pun cukup bagi menampung keseluruhan kos yang diperlukan. Malah, seseorang mungkin perlu berhutang atau memohon lagi bantuan daripada pihak lain bagi memenuhi kos pembedahan berkenaan. Maka, dalam kes ini, zakat KWSP boleh dikecualikan.

Rujuk Pusat Zakat Negeri Masing-masing

Di peringkat kebangsaan, zakat pendapatan telah diputuskan sebagai suatu kewajipan tetapi perlaksanaannya berbeza mengikut pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri. Ini bermaksud, sungguhpun pada asasnya hukum zakat KWSP adalah wajib, namun pelaksanaan bagi negeri masing-masing mungkin terdapat sedikit perbezaan.

Maka, seeloknya anda merujuk kepada Pusat Zakat negeri masing-masing agar cara pembayarannya lebih tepat.

Akhir kata, jangan bertangguh lagi kerana dalam setiap bahagian harta kita, sebenarnya ada hak orang lain. Bahkan, zakat adalah cara bagi umat Islam menyucikan harta dan jiwa. Begitulah indahnya ajaran Islam agar setiap umatnya saling membantu dan mengasihani antara satu sama lain. Jangan takut, jangan resah. Kita tak akan sesekali jatuh miskin dengan berzakat mahupun bersedekah seperti mana janji Allah.

Artikel asal daripada www.majalahlabur.com

Leave a Reply

Loading…

Komen

Komen

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Tak sangka Ramadan tahun lepas kali terakhir saya cium tangan abang – Nora

5 Keistimewaan Bulan Ramadan Yang Tiada Pada Bulan Yang Lain